No events
Print

Tinta Tuan Pengetua

Written by gpbestari @ cg rabi'atun adawiyah md salehan . Posted in Tuan Pengetua


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya, saya diberikan ruang dan kesempatan untuk merakamkan sepatah dua kata buat renungan bersama.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pihak jawatankuasa Teknologi dan Maklumat pada tahun ini kerana dapat merealisasikan penghasilan portal edisi baru bagi tahun 2016. Portal SMK Dato' Bentara Dalam merupakan satu wadah penting khususnya bagi seluruh warga SMKDBD kerana memaparkan rentetan peristiwa sepanjang tahun 2012 serta kejayaan dan kecemerlangan yang dicapai sepanjang tahun ini.

Bidang  pendidikan sentiasa mengalami perubahan yang pesat dalam segala aspek. Oleh itu, menjadi tanggungjawab sekolah untuk menghasilkan sekolah yang unggul yang seterusnya akan dapat melahirkan generasi masa hadapan yang terbilang. Ini semua akan dijana apabila kita dapat membangunkan potensi pelajar-pelajar melalui pendidikan yang berkualiti sebagaimana yang diharapkan melalui misi dan visi sekolah dan seterusnya mampu melahirkan pelajar minda kelas pertama.

Sekolah bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik malahan lebih daripada itu sebagai wadah untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi kokurikulum dan sahsiah. Bagi melahirkan pelajar yang sebegini, sekolah telah merancang pelbagai program yang diharapkan dapat memenuhi aspirasi negara. Dalam hal ini, pihak sekolah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua guru, staf sokongan dan PIBG yang sentiasa memberi komitmen yang tinggi dalam menjayakan pelbagai program di sekolah. Oleh yang demikian, diharapkan pelajar dapat mengambil peluang dengan melibatkan diri dalam semua program yang dirancang oleh pihak sekolah sama ada kurikulum, kokurikulum mahupun kerohanian.

Sekolah juga harus mencapai prestasi cemerlang dalam pentaksiran dan penilaian di samping mempunyai sumber manusia yang berkualiti dari segi keilmuan, kemahiran, dan berketrampilan. Sehubungan dengan itu, guru-guru sebagai pengerak kepada kecemerlangan sekolah perlu peka dan sentiasa mengikut tranformasi pendidikan negara bagi melahirkan pelajar minda kelas pertama. 

Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan berusaha menjayakan pelbagai program  pembangunan pendidikan SMK Dato’ Bentara Dalam agar segala misi dan visi dapat dicapai selaras dengan kehendak Pelan Tranformasi Pendidikan Negara.

Sekian, terima kasih.

 

HJ ZAINAL ABIDIN BIN SAKIRAN

PENGETUA

SMK DATO’ BENTARA DALAM